TEACH A MAN TO FISH AND HE CAN EAT FOR A LIFETIME..."
author: unknown
Jam ditangan sudah menunjukkan pukul 1:45 petang. Semua kami sampai di tempat kapal berlabuh dekat Kampung Loba Cermin, Matang. Kampung ini terletak kira-kira 30 kilometer dari bandaraya Kuching dan didiami majoriti orang melayu. Dari jauh kelihatan bot IJ Laut sudah bersedia untuk membawa kami ke destinasi lubuk Batu Susu. Keadaan cuaca amat baik sekali dan terasa panas yang sangat menggigit. Tekong yang dikenali dengan nama Adi sedang sibuk membuat persiapan di atas kapal dengan dibantu oleh pembantunya bernama Abang Man. Enjin kapal telah mula dipanaskan. Semua barangan dan peralatan memancing yang diperlukan, kami angkut masuk ke dalam kapal IJ Laut dengan bergotong-royong.
Jauh perjalanan untuk pergi ke Batu Susu dijangkakan memakan masa lebih kurang 5 jam. Jam 2:15pm, tekong Adi mula mengerakkan kapalnya. Kami masing-masing melayan karenah diri sendiri, ada yang sibuk memasang joran, ada yang rajin mengemas barangan yang dibawa dan ada pula yang duduk di hadapan bot sambil menikmati keindahan sekeliling sungai.
Muara sungai Rambungan menjadi laluan keluar bot IJ Laut. Keadaan laut kelihatan tenang sekali dengan cuaca yang baik. Sedang sibuk tekong Adi menggemudi kapalnya untuk menuju ke lubuk Batu Susu, Mohd. Fadzly bersama Syordi Lokman yang berada dibelakang kapal menurunkan joran masing-masing untuk membuat “Trolling”. Empat joran kesemuanya diturunkan. Kurang dari setengah jam joran diturunkan, joran Mohd. Fadzly terasa disambar sesuatu. Bot dimatikan enjinnya untuk memberikan laluan kepada beliau menarik joran dan akhirnya seekor ikan parang telah mampu ditewaskan dengan mudah.
Sambil bot IT Laut meredah lautan, pada jam 4:15pm pembantu tekong sibuk menyediakan lauk untuk dimasak. Menu yang disediakan kepada kami “Ayam masak rempah”. Selesai sahaja pembantu tekong tersebut masak dan menyediakan semuanya, kami pun dijemput makan. Kesemua kami mengisi perut masing-masing sambil duduk di belakang kapal yang agak luas. Dalam hati saya berkata “sedap menu kita hari ini…”.
Pada jam 6:20pm sekali lagi joran Mohd. Fadzly ditarik kuat talinya. Dia pun terkejut dan dengan tangkas beliau menarik jorannya. Sekali lagi tekong Adi mematikan enjin botnya dan membiarkan Mohd. Fadzly untuk menggulung tali jorannya. Wajah Mohd. Fadzly kelihatan serius dan teruja. Seekor ikan tongkol hitam rupa-rupanya. Hah! Itulah mangsa yang tersangkut pada tali jorannya. Wajah Mohd. Fadzly tampak berseri sekali setelah berjaya menaikkan ikan tongkol hitam tersebut.
Selepas itu, tekong Adi membawa kami pergi ke satu spot di mana kami disuruh untuk menurunkan joran dan bermain “seven eyes” untuk mengoleh ikan jamah yang boleh dijadikan umpan atau sebaliknya. Semua kami pun melakukannya dengan ada yang memancing di belakang dan ada yang memancing di hadapan bot. Setiap saat diambil kira, ikan Jamah dan ikan Kembung dinaikkan dengan pantas. Dijangkakan dalam 7 kilo ikan-ikan tersebut berjaya dinaikkan.
Selesai sahaja bermain “seven eyes”, tekong Adi pun meneruskan perjalanan untuk menuju ke spot sebenar kami iaitu lubuk Batu Susu. Kira-kira pada jam 7:10pm kami telah sampai ke lubuk Batu Susu. Masing-masing kami menurunkan joran. Umpan yang kami gunakan sotong segar yang telah ditempah dari kedai pancing di kawasan Batu Kawa. Hari semakin malam, keadaan laut kelihatan tenang dengan gelora yang kecil tanpa ada hujan. Bersyukur… itulah yang saya katakan pada diri saya sendiri kerana cuaca di laut menyebelahi kami. Keselesaan dan semangat untuk memancing sangat terasa. Sambil menunggu joran disantap ikan, Ahmad dan Ahim sibuk menyandat sotong yang kelihatan berkeliaran di tepi bot. Satu-persatu sotong itu mudah dinaikkan. Tekong bot dan pembantunya pun turut sama penyandat sotong. Sotong-sotong yang diperolehi bersaiz agak besar dan sebahagian darinya kami gunakan sebagai umpan. Mohd Sukaimi sedang sibuk meneguk sebotol air minuman. Dari raut wajahnya kelihatan beliau amat dahaga sekali. Itulah semangat seorang kaki pancing yang tidak kenal erti letih demi sanggup menanti joran disantap ikan. Tali joran saya sendiri telah beberapa kali putus, mungkin tersangkut pada karang yang terdapat di dasar. Hampir-hampir berputus-asa juga saya dibuatnya tapi itu bukanlah alasan yang harus saya fikirkan…
Syordi Lokman, dialah kaki pancing yang paling berpengalaman dalam kumpulan kami. Dengan berumpankan ikan kembung hidup, beliau telah berjaya menaikkan beberapa ekor ikan alu-alu. Selang beberapa minit selepas itu Ahim pula melayan jorannya. Dia juga telah menaikkan seekor alu-alu yang agak besar saiznya. Ahim bukanlah orang baru dalam arena ini. Beliau juga seorang yang cukup berpengalaman dan mudah didekati.
Malam semakin larut dan joran-joran yang dipasang pun hampir semua tiada yang disambar talinya. Sekali sekala ada juga dari kami yang tersangkut mata kailnya. Mungkin tersangkut pada batu karang yang terdapat di dasar laut. Entah, siapa yang tahu. Mohd Sukaimi sendiri telah beberapa kali terputus tali jorannya. Tidak diketahui ikan apakah yang begitu ganas sekali menyambarnya. Itulah lumrahnya memancing, kesabaran perlu kuat dan kerajinan perlu ada. Di sisi saya kelihatan Mohd. Ismuain dan Ahmad Tinggi sekali sekala membaringkan diri di kerusi panjang di hadapan bot. Mereka berasa terlalu letih setelah setengah hari suntuk memancing. Keadaan cuaca dirasakan sangat baik, tanpa hujan dan hanya gelombang-gelombang kecil yang bermain di bawah bot kami. Tiada seorang pun di antara kami yang mengalami mabuk laut pada malam itu. Dalam jam 4 pagi, tekong Adi mengarahkan semua joran dinaikkan dengan segera kerana beliau hendak berpindah ke spot lain yang lebih baik. Kelihatan keadaan air laut semakin deras pergerakkannya. Sampai sahaja di spot baru, Adi pun mengarahkan pembantunya untuk melabuhkan sauh. Sejam telah berlalu, hari semakin sejuk tanpa hujan. Sekali lagi joran Syordi Lokman ditarik deras oleh ikan. Kami yang berada di hadapan bot bergegas ke belakang kerana ingin melihat Syordi Lokman melayan jorannya yang disantap deras dek ikan. Beliau telah mampu melawan tarikan tersebut dan berjaya menaikkan seekor ikan Jenahak yang dianggarkan seberat 5kg lebih.
Jam 6:30 pagi, di spot yang sama juga joran saya kelihatan membengkok dengan kuat. Saya pun dengan pantas mengambilnya dan dapat merasakan ada ikan besar yang pasti telah tersangkut padanya. Dalam kurang daripada 10 minit, saya telah mampu menaikkan seekor ikan Jemuduk (Belekok) yang cukup besar saiznya. Dianggarkan beratnya lebih kurang 2.5kg. Sememangnya hebat melayan tarikan ikan tersebut.
Inilah pengalaman kali pertama saya melayan tarikan kuat ikan yang bersaiz besar. Pengalaman yang masih baru bagi saya. Sedang saya baru hendak menarik selebarnya senyuman, Mohd. Sukaimi yang berada dibelakang bot pula menjerit kerana tali jorannya juga disambar ikan. Dengan begitu teknikal dan yakinnya beliau melayan tarikan ikan itu dan berjaya menaikkan seekor ikan Ketarap bagak yang bersaiz lebih kurang 5kg lebih. Bersyukur kerana tali perambut 40 paun yang digunakan olehnya masih kuat memerangkap Ketarap bagak itu. “Streeeeet…” kedengaran kuat bunyi alarm dari DRUM Mohd. Sukaimi. Itulah joran kedua beliau yang diletakkan bersebelahan dengan joran tadi, juga disambar sesuatu dan sah ada mangsa yang sedang tersangkut pada tali jorannya. Beliau tampak semakin bersemangat sekali. Selesai sahaja yang satu tadi, dia pun segera mengambil joran keduanya. Itulah semangat pemancing yang ingin merasa sentuhan berlawan dengan ikan-ikan yang bersaiz bagak. Dalam kurang daripada 10 minit sahaja beliau telah menewaskan seekor ikan Jemuduk (Belekok). Gembira, itulah yang dipaparkan oleh wajahnya yang kelihatan agak sedikit comot. 15 minit berselang, Ahim juga terpaksa melayan jorannya yang disantap ikan. Kelihatan berhati-hati juga Ahim menggulung tali jorannya dan dengan tersenyum beliau telah berjaya menewaskan seekor ikan minyak.
Dapat saya rasakan “HENG” semakin menjadi-jadi di pagi itu. Hinggakan Mohd. Ismuain yang menurunkan jorannya di hadapan bot juga telah menewaskan seekor ikan Merah dan ikan Jemuduk (Belekok). Sebagai orang baru dalam aktiviti memancing ini, beliau berasa amat seronok dan teruja sekali. Bagi Mohd. Fadzly pula, dia merasakan “HENG”nya sudah semakin kurang pada pagi subuh itu kerana joran-joran yang diturunkannya tiada yang mengena tapi kelihatan kelibatnya tidak mudah berputus harapan untuk mencari ikan. Merasakan “Heng” dibelakang bot tidak menyebelahinya, Mohd. Fadzly maju ke hadapan bot untuk mencuba nasib. Namun…tiada juga yang mengena pada jorannya. Sekali lagi joran Mohd. Ismuain ditarik deras dek ikan. Ahmad Tinggi yang berada disebelah joran tersebut dengan pantas menyambar dan melayan tarikan ikan itu. Terlalu kuat tarikan hinggakan Ahmad Tinggi terpaksa berhati-hati menariknya. Dengan pengalaman yang ada Ahmad Tinggi menarik joran tersebut. Ikan yang ditarik semakin hampir dengan permukaan air dan sudah pastinya seekor ikan Yu Punai kelihatan hampir tewas naik ke atas. Sedang tekong Adi hendak menggunakan penyedok jala untuk menggangkat ikan itu, ikan Yu itu melibas kuat ekornya, melompat dan akhirnya memutuskan tali joran dan terlepas begitu sahaja. “Ahhh…sayang sekali”, itulah yang mampu saya bisikan dalam hati. Disebabkan terlalu syok melihat kelibat ikan Yu itu, saya sendiri tidak terfikir juga hendak mengambil gambarnya.
Banyak ikan yang bersaiz besar telah dinaikkan pagi subuh itu. Hari semakin menjemput siang dan jam ditangan menunjukkan hampir pukul 8 pagi. “ Setengah jam lagi untuk masa tambahan” itulah kata-kata yang keluar dari mulut Tekong Adi. Beliau memberi peluang kepada kami untuk memancing. Kelihatan wajah murung diberikan oleh Ahmad Tinggi kepada kami kerana joran-jorannya sering kali berserabut tali perambutnya setiap kali dinaikkan. Setengah jam telah berlalu dan kami pun masing-masing menaikkan joran sebagai tanda sudah berakhirnya aktiviti memancing di lubk tersebut. Sauh pun dinaikkan dan kami memulakan perjalanan untuk pulang. Perjalanan tersebut memakan masa hampir 5 jam untuk sampai ke darat tempat di mana kami telah bertolak pagi semalam Masa 5 jam terlalu lama buat kami melihat daratan. Masing-masing kami mencuri masa tersebut untuk berehat dan tidur. Hari semakin panas, lautan yang tenang bagaikan berada di atas permaidani. Cuaca yang cukup sempurna buat kami. Sampai sahaja di darat, kami pun sibuk menurunkan barangan dan peralatan memancing.
Sebelum masing-masing pulang ke rumah, kami sempat bergambar sama sebagai kenangan. Ikan-ikan yang diperolehi juga diambil photonya sebagai bukti pengalaman memancing yang kami perolehi. Pengalaman kali ini adalah yang paling manis sekali dengan mendapat ikan-ikan yang bersaiz bagak dan yang paling pentingnya adalah kepuasan memancing yang kami cari selama ini.